Monday 31 August 2015

FASHION REVIEW @ KAJIAN FESYEN : PEMAKAIAN PELAJAR LELAKI UTM (SPACE) KE KELAS/KULIAH.


Fesyen....
Apabila bicara soal fesyen pastinya akan terfikir mengenai perempuan. Ini kerana fesyen amat sinonim dengan perempuan. Kebiasaannya perempuan amat menggemari untuk mengenakan pelbagai jenis pakaian sesuai mengikut arus perubahan zaman ketika ingin pergi ke sesuatu tempat seperti ke pejabat, majlis keramaian dan sebagainya. Namun begitu, pada zaman yang semakin mencabar ini, lelaki juga tidak ketinggalan dan sudah pandai menitik berat mengenai fesyen atau penggayaan pemakaian. Lelaki juga sentiasa mengikut arus perubahan zaman dalam berpakaian. Disini, ingin diketengahkan mengenai cara pemakaian pelajar lelaki di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia iaitu Universiti Teknologi Malaysia (SPACE) atau dikenali sebagai UTMSPACE ke kuliah pembelajaran.

Umum mengetahui bahawa kuliah atau kelas pembelajaran di UTMSPACE hanya diadakan pada hujung minggu sahaja iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Oleh sebab itu, UTMSPACE tidak mengenakan undang-undang atau kod etika berpakaian yang ketat kepada pelajar UTMSPACE. Di UTMSPACE bebas mengenakan apa jua jenis pemakaian selagi ia nampak kemas, sopan dan tidak keterlaluan serta masih mengikuti garis panduan yang diberikan dan sesuai dengan imej seorang pelajar universiti.

Pelajar lelaki UTMSPACE terdiri daripada pelbagai peringkat umur, status dan golongan seperti ada yang sudah berkahwin, bergelar bapa dan juga bujang. Mereka juga kebanyakannya telah bekerja di dalam pelbagai bidang dan memegang pelbagai jawatan seperti menjadi pegawai, juruteknik, pekerja sumber manusia dan sebagainya. Status dan golongan tersebut juga telah mempengaruhi pemakaian mereka untuk menghadiri kelas pembelajaran di hujung minggu. 

Sebagaimana yang kita boleh lihat cara berpakaian seorang pelajar lelaki UTMSPACE di dalam gambar di bawah yang berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun, masih bujang dan bekerja di dalam sektor perindustrian. Pelajar lelaki tersebut telah mengenakan pakaian yang biasa-biasa dan ringkas. Pelajar lelaki berkenaan hanya mengenakan t-shirt berleher bulat, seluar jenis khakis dengan sisi berpoket dan selipar. Bagi pelajar ini, beliau amat selesa berpakaian begini sewaktu di dalam kelas kerana pakaian ini tidaklah terlalu "sophisticated", ringkas dan ia nampak bersahaja sesuai dengan imejnya sebagai seorang lelaki bujang yang mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan berkerja sebagai juruteknik di dalam industri permotoran. Salah satu sebab pakaian ini dikenakan juga adalah di sebabkan kelas yang diadakan di hujung minggu dan memberi peluang kepada pelajar ini untuk berpakaian ringkas sesuai untuk digayakan di mana sahaja atau membuat aktiviti-aktiviti lain setelah selesai menghadirkan diri ke kelas. Warna hitam atau warna gelap telah menjadi pilihan hati si pemakai yang menonjolkan ciri-ciri lelaki sejati buat dirinya. Bagi dirinya, berpakaian kemas dan sedap mata memandang serta membolehkannya membuat aktiviti lasak selain di dalam kelas sudah memadai.

 
Nampak seperti lelaki sejati tema pilihan penampilan pelajar Kejuruteraan Mekanikal ini.

Lain pula dengan pelajar lelaki muda di bawah. Berusia 23 tahun dan baru selesai menamatkan pengajian Diploma di politeknik dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan berpengalaman tidak sampai 2 tahun di dalam pekerjaannya. Pelajar ini sudah biasa dengan cara berpakaian di tempat belajarnya dahulu telah membuatkan beliau berpakaian lebih formal dengan mengenakan baju denim berkolar, seluar jenis khakis dan kasut sukan. Pelajar muda ini lebih tampak bergaya dengan warna-warna ceria seperti biru, coklat muda dan terang yang dikenakan namun begitu masih tidak terlalu keterlaluan sesuai dengan suasana tempat yang dihadirinya iaitu kelas pembelajaran. Pilihan baju dari jenis denim dan kasut sukan tersebut menampakkan diri beliau yang "moden" dan mengikut arus perkembangan fesyen masa kini serta sesuai dengan usia yang masih muda dan bujang. Cara berpakaian jenis ini mungkin akan menarik perhatian orang ramai untuk memandang si pemakainya. Pemakaian seperti ini juga akan mendatangkan "mood" seseorang untuk belajar dengan hati yang seronok dan fokus akan pembelajarannya. Selesa, "trendy", kemas adalah ciri-ciri penampilan pemakaian bagi pelajar ini.

 
Pelajar muda Kejuruteraan Elektrikal.

Terdapat pelbagai lagi jenis-jenis pemakaian pelajar lelaki UTMSPACE. Masing-masing dengan gaya yang tersendiri. Bagi mereka, lelaki adalah golongan yang tidak terlalu cerewet dalam pemilihan penggayaan pakaian. Apa sahaja pakaian yang selesa, kemas, sopan dan tidak keterlaluan akan menjadi pilihan mereka terutama ketika ingin menghadiri kelas pembelajaran yang akan menampilkan imej mereka sebagai seorang pelajar universiti yang profesional di UTMSPACE. 


 Pelajar UTMSPACE yang terdiri daripada pelbagai status seperti bapa, suami orang, bujang dan sebagainya menampilkan pelbagai gaya untuk menghadiri kelas pembelajaran.


Disediakan oleh :
LIYANA BINTI IMRAN
SX123161MMF04